Prophecy Puisi

Katanya cahaya Matahari adalah tangga ke syurga.


Kadang-kadang bila kawan-kawan saya pos sajaknya di media sosial, saya ingin tinggalkan komen, “Berhenti tulis sajak macam ni,” atau “Malaysia dah tak perlukan sajak macam ni.”

Tetapi itu terlalu jahat. Jahat bukanlah sebab saya akan melukakan hatinya tetapi menyuruh dia berhenti itu yang jahat. Yalah, puisi datang dari hati kot. Dan hati bukanlah benda yang boleh disuruh-suruh.

Jadi lama-lama dipendam, sebuah wahyu datang kepada saya. Wahyu itu membisikkan bahawa suatu hari nanti akan lahir seorang penyair dari perut seorang wanita ber-IC biru dan darah penyair itu mengalir di atas bumi Melayusia.
Dia tidak akan menulis sajak cinta, keakuan dan keengkauan di dalam sajaknya tiada. Dia tidak menulis tentang tempat tinggalnya dan bandar yang dia jejak. Dia tiada keinginan dan tak pernah terfikir pun soal itu. Tiada satu patah perkataan pun akan dicurahkan untuk tempat tinggalnya. Kota yang dibinanya adalah kota yang tiada di dalam mana-mana peta.

Mula-mula dia akan merujuk Kamus Dewan dan lama-lama Kamus Dewan akan semakin tebal dengan perkataan-perkataan yang direkanya.

Sajak-sajak ketuhanannya bagai bercakap dengan kawan-kawan (dia akan masuk syurga kerana sajak-sajak ini). Dia bergelak ketawa dengan Tuhan saat penyair lain merengek-rengek di atas sejadah ditemani daun-daun kering. Semakin dia derhaka, semakin dekat dia dengan Tuhan.

Malaikat yang menyalin sajaknya akan memanggil malaikat lain untuk membaca sajaknya. Munkar dan Nakir akan bertanya kenapa sajaknya tiada metafora.

Siapa dia? Entah-entah dia sudah lahir. Mungkin Jack Malik atau AK Kelana. Mungkin dia seorang perempuan. Bintang Kartika? Mustahil.

Saya harap waktu sajak-sajaknya hadir ke dalam sasterawala, saya masih muda dan sempat membaca karya-karyanya.

Sekarang saya cuma: menunggu.

Ulasan

Catatan Popular