Syaheeda Hamdani Penyair Berani
Ayat terakhir: Kerana Syaheeda telah ada keberanian itu.
* * *
Sebahagian penyair Malaysia walau betapa bagus pun puisi mereka, mereka masih selesa mengambil baris puisi orang lain dan menukarnya secara miniskular. Saya pernah kata kenapa korang rembat-rembat ni kepada Abdullah Hussaini. Dia kata bukan rembat. Interteks.
Saya tak pasti dalam sajak-sajak Syaheeda ada interteks atau pun tidak. Waktu saya menulis ini saya baru saja habis mengulangbaca buku sulungnya buat kali kedua. Bacaan kali kedua ini lebih pantas berbanding pertamakala yang saya habiskan dua minggu (atau seminggu tak pasti). Cuma tigapuluh minit dan ia bacaan yang lebih baik.
Dalam naskhah ini kita akan temui jenama-jenama rokok — Winston dan Chesterfield —, kataganda dan katamajmuk tanpa sempang yang ditulis rapat — acahsembunyi, riuhriot —, frasa Inggeris, frasa Perancis yang italik — oubli au regret, sense of belonging.
Tapi tak semua kata ganda dan kata majmuk dihilangkan sempangnya dan tak semua perkataan dari bahasa asing ditulis secara italik. Kita sajak Pazel Kuala Lumpur dan Pazel Kuala Lumpur 2.
Pazel.
Syaheeda sedar apa yang dia bikin. Kalau semua kata ganda dan kata majmuk dihilangkan sempangnya mungkin kita akan temui beberapa yang tak menjadi. Kesan sebuah puisi boleh dicipta pada visual perkataan via pemilihan–susunan setiap huruf dan tanda baca. Dan Syaheeda peka akan hal ini lalu memilih untuk ada atau tiadanya sempang dengan cermat. Namun kadangkala keghairahannya menulis tergelincir sedikit dengan memilih perkataan yang memecahkan kesatuan bunyi pada keseluruhan sajaknya. Keterpukauan saya terganggu dengan Syaheeda yang terhipnopsis.
Hampir semua dalam sajaknya akan ada perkataan yang menandakan zaman ia ditulis. Nampaknya Syaheeda tidak begitu terkesan dengan apa-apa yang telah digunakan orang lain. Dia sudah ada set perkataan favoritnya sendiri. Tak seperti lambakan matari di langit puisi kita, Syaheeda guna mentari.
Puisi-puisi kota Syaheeda adalah puisi yang ditulis orang yang sengaja mengasingkan dirinya terhadap penglihatannya sendiri. Syaheeda pemerhati dan Syaheeda penyair adalah dua entiti yang berbeza. Via matanya kita akan selalu nampak pengalaman orang lain dan pengalaman kota lalu mata ini – sebagai sumber utama – menceritakannya semula kepada Syaheeda untuk kita baca sebagai sesuatu yang secondary.
Sentiasa akan menanti sajak-sajaknya kerana ada banyak benda telah dicuba(?) Syaheeda Hamdani untuk meletakkannya sebagai penulis yang mampu berdiri dengan cap jari kakinya sendiri. Suatu hari kalau dia menggunakan nama lain saya akan terus kenal kerana apa yang telah ditinggalkan — via yang telah disebutkan — benar-benar miliknya sendiri.
Ulasan
Catat Ulasan
Jujurlah.