Terbaik 2021






Aneh ya dunia ini. Lebih tepat: Malaysia. Malaysia yang aneh. Hari tu (tahun ini – 2021) Mac 21 (atau sekitarnya; saya tak pasti sebelum atau sewaktu itu (atau selepas boleh jadi)) kecoh (taklah sangat) seketika di Facebook bila Dewan Sastera mengadakan undian demi mencari sajak-sajak terbaik Malaysia dan undian memihak kepada sajak-sajak penyair-penyair lama. Isunya kenapa sajak-sajak penyair-penyair kinikala tak mendapat sambutan di sana.

(Dan terima kasih kepada Tukang Puisi kerana bertindak balas dengan bijak.)

Dan ada pula penyair(?) yang mengeluh namanya tak disebut dan dicadang orang lain.

Entahlah saya nak merungut lebih-lebih pun apa yang kau dan aku dapat. Takde. Tak ada. Nda. Teda.

Benda mudah je saya rasa. Kita tak berpuas hati dengan senarai orang lain, kita bikin senarai kita sendiri (walaupun kritikan terhadap senarai tersebut adalah wajar tapi cukupkah sekadar kritikan tanpa tawaran sesuatu yang lain).

Maka ini yang saya mahu buat. Berikan tawaran yang lain. Yang kinikala dan bernafas muda. Kerana awal-awal tadi saya dah cakap Malaysia adalah negara yang aneh maka akan ada keanehan sedikit pada pembikinan ini. Saya tak akan tunggu sehingga hujung tahun untuk melepaskan karya-karya yang telah saya pilih. Saya mahu buat ia secara realtime; 2021 belum tamat tapi ia sedang berjalan. Senarai ini akan beriringan dengannya. Ia belum selesai. Ia sedang diselesaikan. Atau saya boleh guna perkataan rampung. Hafiz Hamzah suka perkataan ini tapi saya tak berapa reti nak pakai.

Mesti anda fikir 2021 kan belum habis dan tentunya akan ada karya masadepankala yang lebih bagus pada mana-mana yang telah dimuatkan di sini. Tapi adakah kau betul-betul pasti. Apa jaminan kau. Sesebuah karya bila ia capai tahap gila babi ia akan tetap gila babi di luar-luar waktunya. Doploh atau limaploh akan datang pun.

Lagi pun untuk buat benda ni saya fikir ia akan memudahkan saya (dan sesiapa yang mengikuti senarai ini) kerana saya akan lawatinya berkali-kali. Karya-karya itu mungkin saya akan baca berkali-kali. Mengamatinya berkali-kali. Membuat pertimbangan yang juga (ya aku tahu kau dah bosan tapi aku nak ulang jugak) berkali-kali. Jadi, lek. sastranaut tahu apa yang dia buat.

Moga penulis generasi ini lebih gila babi daripada generasi seterusnya. Musuh yang tak terlihat adalah musuh yang lebih nyata.

290321

Puisi

• Dalam lelap binari - Qurratul Ain
kata-kata telah miring ke barat

Saya tak perasan mulanya puisi ini ditulis Ain. Kawalan bahasa Ain bagus di dalam sajak ini. Rima akhir yang sama pada dua rangkap awal mengalir seeloknya dan kepala kita diketuk pada baris akhir. Kata-kata telah menghampiri kiamat. Penulis Malaysia tak perlu lagi berasa selesa dan main selamat.

belum ada - Karim Mohd

belum ada - Jack Malik


Cerpen

• Buai (Cerita-Cerita Granul) - Anas Mohd.
Ada ketika ibu tersalah memanggil adik dengan namaku, dan kemudian dia memandang ke belakang dengan resah...

Seperti sekanak-kanak yang menjadi narator cerpen ini polos dan separuh pertamanya hanya benda-benda biasa yang kita boleh lihat di sebuah taman permainan namun ia sarat dengan rindu ibu dan penamat yang membuatkan kita merasa resah yang sama.

• Kerana Bebola Daging (SelangorKini) – Wan Nor Azriq

belum ada - Azrin Fauzi

belum ada - Johan Radzi

harapnya ada - Syafiq Ghazali

belum ada - Saat Omar

Esei

Pertanyaan Tentang Sejarah: Pasca Baca Perang Anjing Suruhan (Sabda Api) - Johan Radzi

belum ada - Ridhwan Saidi

• Memori, dan Bangkai Tak Tertanggung (sinemata) - Azrin Fauzi
Untuk berkarya adalah untuk sentiasa bermain dengan bahaya. Sebagaimana memecut(kan kata-kata) itu juga memungkinkan suatu lagak berbahaya. Mengarang tidak pernah pun selamat. Tidak harus selamat. Kerana bahasa itu sendiri membahaya. Yang punyai sensasinya yang tak terbatas.

Perkongsian proses kreatif dari Azrin Fauzi ini sedikit sebanyak merangkumkan pandangannya terhadap situasi penulisan sastra Malaysia yang rata-ratanya takut-takut dan bermain dalam ruang yang selamat tanpa pergi ke hujung sempadan atau lebih baik meluaskan sempadan itu. Sebuah ruang yang tidak ramai untuk menjejakkan kaki atas sebab takut itu tadi. Kerana berada di dalam keramaian ruang paling mudah untuk meminta perlindungan.

Novel

belum ada - Wan Nor Azriq

Ulasan

Catatan Popular