Nasi Bukit Yang Tak Habis dan Jiwa Non Lepas

Hari itu saya berjumpa Johan Radzi. Dia bawa saya makan nasi bukit. Sedap. Tak habis. Perut saya tak muat. Nasi; nasi yang tak habis. Ayam habis. Ayamnya sedap. Juga ada sup. Sedap supnya.

Johan membuka cerita tentang Shah Alam. Atau saya yang membukanya? Tak ingat. Yang pasti, ia terbuka. Tentang pengalamannya berada di sini sebagai mahasiswa juga sebagai penulis pemula. Bagaimana dia kenal Azriq, bagaimana dia kenal Ainunl Muaiyanah, bagaimana cerpennya dikritik sebagai terlalu seni kerana ada perkataan mencicip.

Kemudian (atau sebelum itu?) kami bercakap pasal Amerika Latin. Rupanya saya dan dia sukar untuk membaca buku-buku dari rantau itu. Ada naskhah yang kami tak habis baca. Dia kemukakan teori yang kita — kau pun termasuk sekali — orang Melayusia sudah terbiasa dengan realisme tempatan dan sebab itu bila kita mendepani Bolano misalnya kita tak dapat berpijak dengan kukuh kerana kaki kita sudah mengakar kuat di bumi Nusantara ini.

Saya mendokong teori itu.

Topik bertukar lagi.

Kali ini politik. Johan kata politik pembolehubah sastera. Hipotesisnya: bila ada reformasi/revolusi politik, revolusi/reformasi sastera juga terjadi. Ia mengingatkan saya tentang apa yang Eka Kurniawan cakap dan memang bodoh sebab saya terlupa. Eka kata sastera Indonesia berubah wajah dan novelnya Cantik Itu Luka lahir kerana reformasi.

Politik sedia ada menekan dada setiap rakyat dan politik baru (dalam konteks kepartian)  akan dapat membebaskan jiwa-jiwa yang sengsara dan para seniman meluahkan rasa bebas itu dengan menghasilkan seni yang segar, jujur dan lebih enak.

Saya sendiri rasa bahawa ada sesuatu yang belum dilepaskan dan selesai lagi dalam jiwa saya tapi saya tak tau apa dan saya harap ia berkenaan politik.

Maka demi sasterawala secara umum dan ketenteraman jiwa saya khasnya: sila undi Mahathir.

Ulasan

Catatan Popular