Saya Rasa Apa Yang Saya Rasa


Saya pernah tweet tentang ketidaktahuan saya untuk menulis ulasan buku dan kemudian tweet itu dibalas Lokman Hakim, "Tulis apa yang kau RASA pasal buku tu."

Baik, di sini saya akan tuliskan apa yang saya rasa terhadap buku Debu Bidadari.

Biasanya bila cakap pasal Kelantan imej yang hadir ke benak saya adalah PAS dan nama jolokannya, Serambi Mekah dan warganya yang Islamik (kononnya). Debu Bidadari yang berlatarkan Kelantan sebaliknya memaparkan cerita-cerita berimej yang gelap, kotor dan bahaya. Saya suka akan vaib Kelantan yang Syafiq bawa kerana keironiannya tidak akan dapat saya rasa jikalau cerpen-cerpennya tidak berlatarkan negeri itu. Ini hal yang menyeronokkan kerana Syafiq telah menggugat imej Kelantan yang biasanya saya bayangkan.

Syafiq mempunyai penguasaan bahasa yang bagus dan itulah yang membuat saya terikat untuk terus menghabiskan ceritanya namun bahasa saja tidak cukup. Boleh saya katakan separuh—atau lebih, saya sendiri sudah lupa—cerpen Syafiq di dalam buku ini tidak dihabiskan dengan baik. Syafiq semacam mahu membawa saya ke sebuah tempat kemudian tiba-tiba saya ditinggalkan terpinga-pinga. Seseorang di Goodreads mengatakan beliau geram ketika membaca naskhah ini. Itu apa yang saya rasa terhadap buku Syafiq tahun lepas, Bahagia di dalam Balang Kaca. Tahun ini pula saya rasa sesat. Kebanyakan cerpennya tiada punchline dan ditamatkan tanpa penyelesaian.

Ada satu ayat yang diulang dua kali dalam dua cerpen yang berbeza yang telah mengganggu bacaan saya kerana saya sudah terkesan dengan emosi watak pada cerpen Boksing—cerpen terbaik dalam naskhah—malah saya suka akan ayat itu maka bila ia diguna pakai semula pada watak yang lain pula gayanya, saya rasa semacam
. Orang lain mungkin rasa biasa tapi saya rasa apa yang saya rasa. Dan ayat yang berulang itu adalah,

"Aku rasa apa yang aku rasa."

Ulasan

Catatan Popular