Rock n Roll di Bin Filem



Salah satu nikmat hidup saya adalah ketidaktahuan kepada sesuatu benda. Waktu saya sekolah menengah saya pernah menghabiskan masa berjam-jam dalam kedai buku Popular di Wangsa Walk untuk hanya membeli satu buku. Saya bergerak dari rak ke rak, mengambil dan membelek buku-buku yang menarik minat saya. Pada waktu itu saya meminati Ramlee Awang Murshid dan saya ke sana dengan azam tidak mahu membeli bukunya memandangkan bahan bacaan saya hanya tertumpu kepada beliau dan kononnya ingin meluaskan bahan bacaan saya sudah berhenti membacanya tiga empat tahun lepas kerana kemuakan — bukan kerana tidak suka tetapi tidak boleh masuk lagi kerana suara penulis dan imej-imej di dalam novelnya sudah terlalu banyak dalam kepala. Selain Ramlee, Ridhwan Saidi adalah penulis yang saya sudah rasa muak membaca fiksyennya. Keinginan itu ada tapi sedang menunggu masa kemuakan itu habis) dan membaca blurb di belakang dan ada masa-masanya saya memegang dua buku sekali gus, membacanya blurbnya bersilih ganti walaupun akhirnya saya pulang juga dengan buku Ramlee Awang Murshid — kerana tiada buku yang berjaya meyakinkan saya (sebenarnya saya mengambil langkah selamat dengan mengambil buku penulis yang saya sudah tahu penulisannya kena dengan jiwa) — proses memilih buku itu benar-benar memberi satu pengalaman mengesankan. Saya tidak kenal dengan nama-nama penulis berbakat dan buku-buku yang dapat mengisi jiwa saya. Pengenalan pertama saya terhadap mereka bermula dari sampul dan blurb bukan macam sekarang, setiap kali ke kedai buku saya sudah tahu buku apa yang ingin dibelek-beli. Nikmat membeli buku tanpa mengenal latar belakang penulis amatlah sukar untuk saya kecap lagi. Saya pernah mencubanya beberapa kali tetapi tetap juga saya memberi perhatian pada nama-nama yang saya pernah dengar lewat bacaan blog atau dengar dari mulut orang. Saya tidak membelek buku dari penulis yang saya tidak kenal kerana masih takut akan membeli buku yang salah.

* * *

Dalam blog Bin Filem versi desktop, ada butang Rock n Roll yang bila kita tekan akan memberikan entri secara rambang. Blog ini mengikut sejarahnya dimiliki oleh tiga orang penulis. Setiap kali membaca entri yang diberikan butang itu, saya tidak tahu siapakah penulisnya. Hanya boleh agak-agak dan kadang-kadang agakan saya salah.

Ber-Rock n Roll di Bin Filem sedikit sebanyak mengembalikan nikmat ketidaktahuan saya.

Ulasan

javascript:;

Catatan Popular