Beli Samping di Jalan TAR

Malam raya tahun lepas saya ke Jalan Tunku Abdul Rahman atas satu tujuan jelas: membeli samping berwarna biru.

Tahun itu saya tidak membeli baju raya kerana pada tahun sebelumnya saya sudah buat perancangan, tahun itu beli baju, tahun berikutnya samping.

Saya ke sana dengan moto.

Suasananya sudah dijangka. Padat dan sesak. Mengalahkan kesesakan MRR2. Namun kerana manusia bukan kereta yang mesti duduk dalam lane, kesesakan itu tidaklah terasa sangat. Boleh menyelit-nyelit. Saya mencari samping berwarna biru. Saya menanya Dan melihat hampir sepuluh kedai. Kedengaran macam sedikit tapi saya di sana hampir dua jam kerana kesesakan itu tadi. Ada kedai yang menjual songket Terengganu dan rupanya ada juga samping buatan India dan Pakistan. Saya baru tahu waktu itu. Selama ni saya fikir samping hanya buatan orang Melayu. Kemudian saya ke Jakel. Mereka menjual barang-barang raya di perkarangan; di bahagian luar kedai. Terlalu ramai orang di sana. Barang-barang dikepung pagar dan ada beberapa pekerja yang menjaga pagar di sana. Tiada samping yang menarik hati saya.

Saya kembali ke kawasan pasar. Ada satu gerai, kecil sahaja. Sampingnya pun tak banyak dan hanya diletakkan atas meja dan mereka berniaga dalam kesamaran jingga lampu jalan. Kedai mereka betul-betul di penghujung jalan. Saya belek-belek samping mereka. Benda yang saya tanya dahulu adalah, “Samping biru ada?” Salah seorang mereka menarik salah satu samping biru dan kepala kainnya berwarna merah. Bagi saya itu satu kombinasi yang baik. Motifnya pun cantik. Pekerja itu kata ini dari Terengganu. Saya kata, saya pusing-pusing dulu. Kalau tak jumpa, saya datang semula.

Lepas berpusing-pusing, memang samping itu juga yang menambat hati. Saya kembali ke gerai itu dan membeli sampingnya.

Di rumah, di bawah cahaya lampu barulah saya sedar kombinasi warnanya bukan biru-merah tapi birungu. Saya terkejut kerana imej biru-merah dah melekat sepanjang saya balik naik moto. Tapi saya tak menyesal. Yang penting adalah warna biru.

* * *

Tahun ini saya telah membentuk satu rasa. Saya rasa warna biru dan ungu ada pertautan kuat. Bila saya search (kebetulan pula Amy Search sedang menyanyi lagu raya di TV3 waktu ini) di Google, rupanya kedua warna ini duduk sebelah-menyebelah di dalam roda warna.

* * *

Saya ada buat poll di Twitter dan warna ungu telah menang.

Saya tanya mak saya warna baju apa yang sesuai dengan samping itu. Dia kata warna ungu. Kalau baju Melayunya biru, samping itu tenggelam.

Sekarang saya ingin ke Jalan TAR.

Selamat hari raya maaf zahir dan batin.


Ulasan

javascript:;

Catatan Popular