Alhamdulillahallelujah

Tahun lepas di PBAKL saya terdengar S.M Zakir cakap yang penulis harus mencipta atau menggunakan perkataan baru seperti Shahnon Ahmad yang menggunakan perkataan ‘sipongang’ sehingga perkataan itu dimasukkan ke dalam Kamus Dewan. Saya tak pasti jika ianya fakta atau tidak. Jika salah, sila kecam beliau. Saya tak bersalah. Saya hanya tulis berdasarkan ingatan (yang saya perasan, menulis dengan cara ini lebih sedap dan mengalir dengan lebih lancar dan fun. Saya cenderung tersalah ingat dan mencampuradukkan kedua benda berbeza dan atas kesedaran itu saya menjadi perenung, cuba mengingatinya sehabis baik).

Salleh Ben Joned ada mencipta perkataan ‘seriusenda’ serta ‘fikirasa’ yang gila babi brilliant. Lalu atas saranan S.M Zakir dan homaj – saya rasa ia homaj – kepada Salleh saya telah mencipta perkataan baru iaitu,

Alhamdulillahallelujah

dan menyebarkanya di media sosial.

Dan tanpa saya sangka-sangka, sebaran di instastory saya dibalas dengan sebuah pertanyaan, – mungkin retorik – “Apa maksud hallelujah?” Saya secara tenang dan tawaduk kata ia lebih kurang alhamdulillah. Dia tanya lagi, -jah di belakang itu apa maknanya. Saya tahu bahawa Jah itu merujuk kepada Tuhan oleh bangsa Yahudi dan secara sedar saya tidak merujuk perkataan hallelujah dalam pemaknaan orang Yahudi tetapi melalui definisi Oxford; God be praised (uttered in worship or as an expression of rejoicing).

Kami berbalas-balas lagi dan dia menyatakan ketakutannya untuk berborak soal ini. Tujuan entri ini adalah untuk menghargai dia yang takut-takut tapi masih juga cuba menegur saya untuk berhati-hati.

Saya rasa dihargai.

Ulasan

Catatan Popular