Berjalan di dalam LRT

Saya suka berjalan.

Dan antara ruang paling seronok untuk saya berjalan adalah di dalam gerabak LRT. Bila LRT sampai, saya akan masuk melalui gerabak yang paling hujung. Selepas itu saya akan berjalan ke gerabak-gerabak lain sampailah yang ke hujung lagi satu.

Di sana saya akan duduk atau berdiri seketika sambil menunggu tren untuk berhenti bagi mengambil penumpang-penumpang baru. Stesen yang paling kerap saya mulakan perjalanan adalah LRT Taman Melati; stesen kedua awal dalam laluan Kelana Jaya maka tren-tren yang datang tidak banyak orang, kerusi-kerusi kosong dan tidak sesak. Dan bila tren sudah berhenti di beberapa stesen dan isinya pun semakin padat, saya akan berjalan lagi ke hujung yang lain. Menyelit-nyelit di antara penumpang-penumpang, melawan inersia yang cuba menjatuhkan saya (kalau hampir jatuh, cepat-cepat saya pegang tiang) juga curi-curi lihat skrin telefon para komuter – orang Cina ramai yang memilih untuk tengok drama – adalah satu bentuk hiburan untuk saya di dalam tren.

Berjalan di dalam LRT perasaannya lain sikit berbanding berjalan di kawasan terbuka. Ia ada unsur humour lagi-lagi bila saya lalu di hadapan orang yang saya sudah lalu dua tiga kali, mereka akan memandang pelik dan saya akan tersenyum geli hati.

* * *

Dalam blognya, Azrin Fauzi kata beliau adalah pengguna tegar LRT lalu membuat saya terfikir kenapa selama saya berjalan di dalam LRT, saya langsung tidak pernah jumpa atau terserempak dengan orang-orang yang saya kenal.

Ini adalah salah satu rahsia alam yang saya hendak tanya kepada Tuhan bila/jika masuk ke syurga nanti.

Ulasan

Catatan Popular