Catatan Akhir Tahun: Pagi

Saya telah melalui satu fasa di mana saya akan terjaga antara pukul sembilan dan sepuluh pagi. Tidurlah pukul berapa pun dan saya tak perlu risau kerana saya memang akan terjaga di antara dua waktu itu.

Dan fasa itu telah tamat di penghujung tahun ini. Kini saya terjaga antara jam tujuh dan sembilan. Ia seakan fasa yang sama tapi sebenarnya ia berbeza. Tenaga sepanjang hari dan waktu tidur saya bertukar terus. Sekarang saya akan mengantuk pada pukul sepuluh malam dan kalau dipaksa saya akan tidur pada jam satu atau dua pagi berbanding fasa sebelumnya saya boleh tidur pada bila-bila masa dan bangun tepat pada sela waktunya.

Sebelum kedua fasa itu, waktu pagi adalah kenikmatan yang jarang-jarang saya dapat dan saya akan hargainya dengan berjalan kaki ke kedai mamak lalu tepi tasik Pandan Perdana melihat kereta yang beratur menunggu giliran untuk memasuki simpang dan bertukar senyuman dengan pejalan kaki yang lain ataupun kalau saya malas saya akan berdiri di balkoni melihat tompok-tompok awan dan langit pukul tujuh pagi yang bagi saya adalah sebuah waktu yang terbaik untuk melihat kebiruannya dengan selesa kerana cahaya Matahari tidak berapa garang untuk menyakitkan penglihatan saya.

Malangnya waktu itu sudah berlalu dan sekarang di fasa yang baru ini (juga fasa bangun sembilan-sepuluh) saya hanya akan menghabiskan satu atau dua jam melayan telefon. Ketagihan bermain telefon adalah ketagihan yang saya sedang lawan dan saya terus-terusan kalah.

Saya harap saya kembali menghargai waktu pagi dengan berjalan ke kedai mamak untuk menikmati seroti canai dan segelas teh tarik.

Ulasan

Catatan Popular