Perbualan bersama Anuar Othman

Yang membuat saya memula baca cerpen Anwar Ridhwan adalah Anuar Othman, seorang pengarang Singapura. Masa tu saya sedang makan di kafe DBP dan beliau tiba-tiba datang nak makan sekali – meja memang tidak penuh segelintirnya.

Saya tak ingat sangat bagaimana susunan perbualan kami tapi aku masih ingat yang kami ada berbual perihal bahasa Melayu di Singapura. Katanya, apa yang dikata media tak perlu dipercaya, bahasa Melayu di Singapura tidak terancam sebab dirinya sendiri sudah menerbitkan belasan buah buku berbahasa Melayu di sana. Beliau mengeluarkan dompet dari poket dan mengeluarkan duit dari dompet dan menunjukkan cogan kata Singapura yang masih Melayu.

"Arahan-arahan dalam ketenteraan juga dalam bahasa Melayu."

Perbualan kami juga berkisar tentang penulis-penulis di Malaysia. Memang dalam kebiasaan saya makan sambil membaca; tangan kanan suap makanan, tangan kiri selak buku sebab saya seorang pembaca lambat maka masa yang ada harus diguna semaksimum mungkin untuk meninggikan kadar pembacaan dan buku yang saya baca masa itu adalah Anjing-anjing, Shahnon Ahmad. Beliau pernah berjumpa dengan Shahnon Ahmad di Singapura. Ohh ya, saya juga ditunjukkan gambar beliau bersama Ketua Pengarah yang pada ketika itu baru sahaja beberapa hari menjawat. Menurutnya, yang mengangkat Shahnon Ahmad sebagai Raja Novel adalah Mana Sikana dan kebetulan malam itu di Rumah Pena adalah majlis pelancaran buku beliau. Saya pernah membaca cerpen-cerpen Mana Sikana dan saya suka. Orang yang memperkenalkan saya dengan Mana Sikana adalah Omorq Iwan bila dia tanya jenis cerpen apa yang saya mahu tulis dan dia mencadangkan nama itu serta-merta.

Dalam bidang puisi, Anuar Othman meminati A. Samad Said. Penulis prosa Malaysia yang paling diminatinya ialah Anwar Ridhwan tapi tak ingatlah pula saya apa alasannya yang diberikan waktu itu. Saya tidak menanyakan siapa yang dia minat cuma menanyakan siapa penulis Malaysia yang baik. Kemudian selesai makan, saya meminta diri untuk ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) lalu terus ke bahagian cerpen mencari buku Anwar Ridhwan kerana ulasan Anuar Othman benar-benar meyakinkan saya. Buku yang saya pilih adalah antologi Parasit. Ketika membacanya, saya beranggapan bahawa Anwar Ridhwan adalah seorang yang erotis, cerpen Dunia adalah Sebuah Apartmen adalah puisi prosa paling sedap saya pernah baca, beliau adalah seorang propagandis (maaf, memang perkataan ini yang terbang ke dalam kepala saya) dan prosais yang teliti. Jika beliau ini seorang pengukir, medium ukirannya adalah mata pensel.

Apa-apa pun, ini hanya tanggapan awal.

Sebenarnya tujuan saya menulis hal ini adalah sekadar untuk memberitahu pada Mei lalu di PBAKL saya terjumpa buku Anuar Othman terbitan ITBM dan terketawa melihat nama pena beliau yakni Ridhwan Anwar.

201607132025
Gombak

Ulasan

Catatan Popular